Thursday 17 September 2015

Definisi Gangguan Emosi





Gangguan emosi boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih karekteristik oleh murid-murid. Menurut kamus dewan, gangguan emosi bermaksud gangguan akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu. Gangguan emosi ini juga dapat ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka menyendiri dan mempunyai emosi yang tidak stabil.
Antara gangguan emosi yang berlaku ialah antisosial dimana murid-murid lebih suka menyendiri dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakan yang lain, ketidak mampuan untuk belajar yang tidak dapat dijelaskan oleh faktor-faktor intelektual serta gangguan kesihatan seperti mudah sakit perut, sakit kepala dan sebagainya. Secara ringkasnya gangguan emosi boleh dikatakan sebagai gangguan yang diterima oleh seseorang murid yang menyebabkan emosi murid itu tidak stabil. Gangguan emosi ini akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan seseorang murid. Gangguan emosi ini juga boleh menyebabkan pelajaran murid terganggu dan seterusnya mempengaruhi pencapaiannya di sekolah.

Jenis-jenis gangguan emosi
Terdapat tiga jenis gangguan emosi dalam kalangan murid-murid iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Walau apapun tahap gangguan emosi pada murid-murid ini, jika ianya tidak diatasi pasti akan menyebabkan masalah yang lebih teruk lagi yang boleh menganggu pencapaian murid dalam akademik dan juga membawa kepada gejala yang lebih buruk. Sebagai seorang guru, kita hendaklah sentiasa peka dengan emosi pelajar kita. Sebarang perubahan tingkahlaku yang berkait rapat dengan emosi murid perlu diambil kira supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk dan seterusnya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Sebagai seorang guru yang telah mempunyai pengalaman mengajar selama dua puluh tahun, berbagai gangguan emosi yang dialami oleh murid yang telah saya hadapi. Antaranya yang telah saya kenal pasti ialah tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah, tidak boleh duduk diam dan suka menganggu rakan-rakan serta sering mendatangkan masalah dalam bilik darjah, sering berasa cemas dan takut semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan, selalu tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru dan  pencapaian akademik yang semakin merosot.

Punca-punca gangguan emosi.
Mengikut Teori Mauro ( 2004 ), terdapat banyak faktor yang berkait rapat dengan gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak.  Antara punca berlakunya gangguan emosi adalah persekitaran sekolah, peristiwa yang berlaku dalam keluarga, pengaruh keluarga, pengaruh rakan sebaya, tindakan guru dan lain-lain lagi.
Bagi murid-murid saya, gangguan emosi yang berlaku terhadap mereka telah saya kenal pasti punca masalahnya. Dalam kes pertama iaitu seorang murid lelaki tahun tiga yang sering tidak hadir ke sekolah. Murid ini merupakan seorang murid yang manja tetapi pendiam. Setiap minggu pasti ada sekali murid ini tidak hadir ke sekolah dan kemuncaknya apabila murid ini tidak hadir selama empat hari berturut-turut tanpa sebarang makluman dari penjaga. Apabila guru kelas pergi ke rumah murid tersebut untuk mengetahui punca murid itu tidak hadir, didapati murid ini takut untuk ke sekolah kerana telah diugut oleh rakan sekelasnya. Perasaan takut kepada rakan yang mengugutnya itu menyebabkan murid ini tidak berani untuk ke sekolah. Gangguan emosi terhadap murid ini terjadi  berpunca dari rakan sebaya.
Kes kedua, pelajar tahun dua ini merupakan anak seorang guru, dan merupakan pelajar linus.  Di dalam bilik darjah sewaktu mata pelajaran matematik, dia selalu merasa resah, tidak tenteram dan takut. Dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan kadang kala dia mengadu sakit perut kepada ibunya. Apa yang menghairankan ibunya, keadaan anaknya begini hanya apabila tiba mata pelajaran matematik. Apabila diselidiki, murid ini sebenarnya takutkan guru matematiknya ini. Guru matematiknya merupakan seorang guru lelaki yang berperwatakan garang dan guru ini pernah melempang rakan sekelasnya dihadapan murid ini menyebabkan murid ini takut. Emosi takutnya yang berlebihan terhadap guru matematik ini menyebabkan dia berasa tidak tenteram, resah dan takut setiap kali tiba waktu mata pelajaran matematik. Gangguan emosi pelajar ini berpunca dari sikap guru itu sendiri.
Kes ketiga pula seorang pelajar lelaki tahun lima. Beliau sering menganggu rakan dalam kelas, tidak boleh duduk diam dan sering tidak menyiapkan kerja sekolah. Setiap hari ada saja masalah yang timbul darinya. Beliau pernah mencuri duit rakan sekelas, menyorokkan buku tulis rakannya serta makan bekalan yang dibawa oleh rakannya. Pernah beberapa kali beliau dipanggil ke hadapan semasa perhimpunan kerana masalah disiplin yang dilakukannya. Murid ini seperti suka setiap kali namanya dipanggil ke hadapan. Apabila diselidiki, punca murid ini bertindak sedemikian adalah kerana masalah keluarga. Ibu dan bapanya baru sahaja bercerai dan beliau tinggal bersama ibunya. Di rumah beliau selalu ditinggalkan bersendirian kerana ibunya keluar bekerja. Beliau kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah menyebabkan beliau cuba mengambil perhatian guru di sekolah dengan melakukan tingkah laku yang negative.
Kes keempat pula melibatkan pelajar tahun empat yang baru berpindah ke sekolah ini. Murid ini merupakan seorang pelajar yang bijak. Rekod dari sekolah lama menunjukkan pelajar ini selalu mendapat tempat kedua dan ketiga dari murid seramai 16 orang dalam peperiksaannya. Apabila berpindah ke sekolah ini beliau ditempatkan dalam tahun 4 Cerdas yang mempunyai jumlah murid seramai 36 orang. Oleh kerana murid ini seorang yang tinggi dan besar, guru kelas telah menyuruh murid ini duduk di bahagian belakang. Pencapaiannya pada ujian bulanan pertama dan kedua agak memberansangkan namun dalam ujian-ujian seterusnya, pencapaian murid ini semakin merosot. Apabila ditanya, murid ini menyatakan beliau tidak selesa duduk di belakang dan sering diganggu oleh rakan-rakannya yang nakal menyebabkan beliau tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru tambahan lagi dengan jumlah murid yang ramai dalam kelas tersebut. Kesimpulannya, pencapaian murid ini merosot kerana persekitaran belajarnya yang tidak kondusif yang menyebabkan emosinya terganggu.
Kebanyakkan murid mengalami gangguan emosi kerana mereka tidak menguruskan emosinya secara berpatutan dengan kebijaksanaan menggunakan kecerdasan emosinya. Oleh itu langkah-langkah perlu diambil oleh guru, ibubapa, murid dan pihak sekolah untuk mengatasi masalah gangguan emosi ini. Walau bagaimana pun, peranan guru di sekolah adalah amat penting dalam memastikan gangguan emosi ini tidak berlaku dalam kalangan pelajar-pelajarnya. Sebagai seorang guru, kita bertanggungjawab atas segala masalah yang timbul dari murid-murid kita. Seorang guru hendaklah sentiasa peka dengan sikap anak-anak didiknya lebih-lebih lagi yang melibatkan emosi murid. Sebarang gangguan emosi kepada murid-murid, boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan lancar dan seterusnya akan menghalang kejayaan sekolah.
Sebagai seorang guru, kita perlu mengamalkan sikap kepimpinan demokratik. Kepimpinan guru bersifat demokratik boleh mewujudkan interaksi dua hala dan membawa sosio emosi yang sihat, mesra dan harmonis diantara guru dengan murid-muridnya. Dengan sikap kepimpinan demokratik ini juga, guru boleh menyiasat secara adil setiap kesalahan yang dilakukan oleh murid-muridnya dan mengambil tindakan disiplin setelah benar-benar didapati murid itu bersalah. Dengan sikap kepimpinan demokratik guru ini juga,dapat mengurangkan rasa tegang dan menggalakkan murid berganding rapat dengan gurunya. Oleh itu sebarang masalah yang timbul, murid tidak takut untuk mengadu kepada gurunya. Dengan cara ini masalah yang timbul dapat diatasi dengan cepat dan secara tidak lansung tidak berlaku gangguan emosi kepada murid-murid tersebut.
Guru juga haruslah mempunyai perasaan empati. Guru yang menguasai kemahiran empati akan melicinkan segala aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah. Dengan kemahiran yang ada ini, guru boleh mengenalpasti punca murid-muridnya bertindak sedemikian. Contohnya dalam kes murid yang sering membuat salah laku disiplin untuk menarik perhatian guru terhadapnya. Sebagai seorang guru, murid ini wajar didekati, selami perasaannya dan cuba berikan perhatian yang sewajarnya kepada murid ini. Murid ini bertindak begini kerana kurangnya mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah, jadi peranan guru di sekolah ialah cuba berikan perhatian dan kasih sayang kepada murid ini. Dengan cara ini, murid ini akan dapat menguruskan emosinya dengan baik dan seterusnya dapat mengawal tingkah lakunya.
Selain daripada itu, sebagai seorang guru kita hendaklah bijak dalam menyediakan kelas yang kondusif kepada pelajar-pelajar kita. Walaupun mempunyai bilangan murid yang ramai, jika keadaan fizikal bilik darjah tersusun dengan rapi dan kondusif, murid-murid pasti akan dapat belajar dengan senang. Guru hendaklah bijak dalam menyusun tempat duduk murid mengikut kumpulan. Ini supaya murid-murid yang lemah dapat diberi pemulihan dan tidak menganggu ahli kumpulan yang lain. Selain dari itu guru juga hendaklah banyak memberikan aktiviti kumpulan kepada murid-muridnya supaya setiap murid dapat mengambil bahagian dalam kumpulan. Dengan ini murid yang lemah tidak merasa diri mereka terasing.Aktiviti kumpulan ini juga dapat memberi peluang kepada murid untuk menunjukkan bakat terpendam mereka.
Selain daripada itu guru juga haruslah bersifat penyayang. Tujuannya ialah untuk merapatkan hubungan guru dengan murid-muridnya. Didalam hubungan yang mesra ini, murid-murid akan digalakkan mengemukakan soalan-soalan, termasuk soalan masalah peribadi dengan harapan dapat diselesaikan oleh guru yang disayangi oleh mereka.
Sebagai seorang guru, kita juga hendaklah sedia membantu murid-murid yang bermasalah. Sekiranya terdapat murid-murid yang mempunyai masalah peribadi seperti bersifat pendiam, penakut, pemalu dan sebagainya guru seharusnya mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya. Selepas itu guru menggalakkan mereka menyertai aktiviti pembelajaran  bersama murid-murid yang lain. Guru juga harus mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat menerima murid-murid bermasalah dalam kumpulan mereka dan tidak menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat menggalakkan murid yang bermasalah mengalami gangguan emosi.
Guru-guru bimbingan dan kaunseling juga hendaklah bijak merangka program-program yang berbentuk pendidikan sebagai tindakan sokongan dalam pembentukan tingkahlaku. Program-program ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkahlaku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid.
Kesimpulannya, sebagai seorang guru, kita tidak dapat lari dari tanggungjawab kita mendidik murid-murid dan memastikan setiap murid kita dapat menjadi seorang insan yang berguna. Oleh itu apa saja halangan yang boleh menganggu proses pembinaan modal insan ini, hendaklah diselesaikan ini termasuklah segala gangguan emosi murid-murid. Ini penting demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran kita berjalan dengan lancar dan seterusnya menjamin kejayaan sekolah.

No comments:

Post a Comment