Thursday 17 September 2015

Tekanan emosi dalam kalangan murid, punca-punca dan strategi menangani masalah gangguan tersebut.



Perkataan emosi berasal daripada perkataan Latin  motere  yang bermaksud bergerak. Emosi atau motus anima secara literal bermaksud “semangat yang menggerakkan kita” (Cooper dan Sawaf, 1997). Emosi ialah satu perasaan afektif yang dialami oleh seseorang individu dalam sesuatu keadaan yang memberi makna kepada dirinya. Emosi juga ditakrifkan sebagai tindak balas atau kebangkitan yang ditonjolkan keluar.

Pada masa sekarang, tekanan di kalangan murid adalah perkara yang biasa berlaku. Mengikut, Lessard (1998), stres ataupun tekanan emosi merupakan satu pengalaman atau kejadian yang sering dialami oleh seseorang individu. Tekanan emosi ataupun stres boleh mendatangkan gangguan ke atas pemikiran, perasaan dan aktiviti seharian. Beliau juga mendapati bahawa ia bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, malahan turut dialami oleh pelajar.

            Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Sebenarnya terdapat perbezaan antara gangguan emosi dan tekanan emosi. Biasanya, pada murid-murid, gangguan emosi yang berlaku keatas mereka dan  jarang tekanan emosi berlaku keatas mereka. Gangguan emosi biasanya berlaku tidak lama. Walaubagaimanapun, tindakan segera harus diambil untuk mengelakkan daripada perkara ini berlarutan yang boleh menyebabkan gagguan mental.

            Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ada menyebut bahawa guru turut bertanggungjawab dalam membantu murid memperkembangkan emosi kanak-kanak. Seorang guru mestilah memahami jiwa murid-murid beliau bagi memastikan tiada masalah akan timbul semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Gangguan emosi biasanya berlaku apabila sesorang murid itu mengalami salah satu perkara ini iaitu, seperti murid mengalami masalah emosi tertentu seperti, depresi, kecemasan dan kemarahan, murid tidak mampu menzahirkan perasaan kasih sayang, kepercayaan, sentiasa marah mahupun penolakan. Ini akan menyebabkan murid-murid yang mengalami masalah seperti ini akan memberontak secara dalaman iaitu dari dalam diri mereka. Ini akan menyebabkan mereka mengalami gangguan emosi dan mungkin boleh menyebabkan tahap percaya kepada diri sendiri dan semangat mereka akan menurun.

            Selain itu, gangguan emosi berlaku disebabkan oleh teman-teman murid itu sendiri. Ini adalah seperti murid-murid berasa mereka tersisih dari kawan-kawn mereka, kecewa, kawan-kawan yang menakutkan mereka dan sebagainya. Akhir sekali, murid-murid akan mengalami gangguan emosi sekiranya mereka mengalami konflik perasaan ataupun emosi. Sebagai contoh,  murid-murid mengalami konflik antara perasaan marah dan takut ataupun mengalami konflik perasaan sayang dan benci.

            Sementara itu, guru adalah orang yang bertanggungjawab membantu murid-murid yang mengalami gangguan emosi untuk menyelesaikan masalah mereka kerana jika masalah ini berlanjutan, ia akan memberikan kesan kepada prestasi akademik dan hubungan murid dengan orang lain. Setelah mengenal pasti masalah yang dialami oleh murid-muridnya, guru mestilah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi masalah yang berlaku tersebut.

            Gangguan emosi sebenarnya berkaitan dengan hak pelindungan kanak-kanak. Biasanya, kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi tidak berupaya untuk berinteraksi secara normal dengan kanak-kanak lain, dan mereka biasanya akan lebih kelihatan keanak-anakan dan tidak selari dengan tahap umur mereka. Selain itu, ada juga diantara mereka yang bertindak ganas seperti kerap mengamuk. Ini telah menunjukkan bahawa murid-murid yang mengalami gangguan emosi seringkali membuat tindakan yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal yang sepatutnya mereka lakukan selari dengan tahap umur mereka.

            Terdapat banyak punca menyebabkan belakunya gangguan emosi di kalangan kanak. Walaubagaimanapun, faktor ketara yang menyebabkan gangguan emosi adalah masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga. Perkara ini telah disebutkan oleh Terri Mauro (2004). Masalah ketidakfungsian otak boleh menyebabkan sifat murid-murid itu tidak matang. Mereka tidak suka untuk berhubung dengan orang lain dan ini akan menyebabkan mereka mengalami masalah untuk berkerjasama dalam kupulan. Selain itu, keyakinan diri mereka juga lebih rendah. Ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Apabila perkara sebegini berlaku, guru akan mengalami masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana murid-murid yang mengalami gangguan emosi ini tidak berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka.

            Selain itu, masalah pemakanan juga adalah antara sebab major murid mengalami masalah ganguan emosi. Ini mungkin kerana kekurangan zat dan vitamin yang diperlukan oleh badan dan otak untuk berkembang. Ini akan menyebabkan tumbesaran otak dan kecerdasan mereka agak terhad. Selain daripada faktor makanan yang perlu diambil kira kebersihan tempat kediaman, terutamanya bilik tidur itu perlu. Udara yang cukup dan selesa memainkan peranan penting dalam usaha memperolehi ketenangan, terutamanya selepas menunaikan tugas harian.

            Masalah keluarga pula adalah antara punca yang amat besar gangguan emosi dikalangan kanak-kanak berlaku. Ia biasanya berpunca daripada peringkat awal lagi. Ibu bapa perlulah memainkan peranan penting bagi membantu perkembangan emosi kanak-kanak. Adakalanya, kanak-kanak diasuh dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak dibekalkan dengan bahan -bahan bacaan dan peralatan menulis yang cukup. Ada sesetengahnya pula tidak dibiasakan untuk berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain secara terbuka dan akibat kurangnya pergaulan, kemahiran sosial mereka terbantut. Apabila mereka dimasukkan ke tadika atau sekolah, mereka mengalami ketegangan jiwa. Mereka berasa kurang yakin pada diri sendiri serta tidak banyak bercakap. Malahan, perasaan takut mungkin bersarang dalam jiwa mereka, terutama apabila berhadapan dengan guru.
            Selain itu, ibu bapa yang rapat serta peka terhadap keperluan anak -anak pasti dapat merasai perubahan pada anak yang mengalami tekanan emosi, terutamanya dari segi tingkah laku dan cara percakapan. Kanak -kanak yang mengalami tekanan emosi lebih suka berseorangan, termenung, merayau -rayau dan berkelakuan tidak menentu. Mereka sering kelihatan tidak bermaya, kurang menunjukkan minat dan tidak mempamerkan wajah gembira dan mesra seperti biasa. Mereka mungkin menjadi lebih pemarah, lebih resah, kurang sabar, tidak suka ditegur dan menunjukkan berbagai-bagai corak tingkah laku yang tidak menyenangkan.
            Dengan itu, ibu bapa sewajarnyalah memberikan sokongan moral yang kuat dan galakan sepenuhnya kepada anak -anak mereka yang menghadapi krisis dan cabaran -cabaran hidup. Semakin mereka membesar, semakin berat tanggungjawab yang mereka pikul. Ketenangan dan keyakinan diri perlu dipupuk dalam diri si anak. Latihan-latihan yang bertujuan mengatasi tekanan emosi perlu didedahkan kepada mereka untuk dimanfaatkan.
            Dalam mengatasi masalah gangguan emosi di kalangan muri-murid, pelabagai cara dan strategi boleh diambil bagi membendung masalah ini daripada terus merebak dan berpanjangan yang boleh menyebabkan implikasi yang lebih teruk berlaku kepada murid-murid. Antaranya ialah mengadakan program-program dalam bentuk pendidikan seperti program yang boleh membantu murid yang mengalami gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran mengawal tingkahlaku dan menaikkan kembali keyakinan diri murid-murid ini.
            Selain itu, perkhidmatan psikologi dan bimbingan kaunseling juga boleh dilaksanakan terhadap murid-murid seperti ini. Mereka perlu mendapatkan khidmat-khidmat seperti ini daripada orang yang terlatih dan berkelayakan. Kaunselor boleh memberikan kaunseling bimbingan kerjaya kepada mereka supaya mereka boleh meningkatkan konsep kendiri yang lebih positif dan boleh meningkatkan semangat mereka untuk lebih berkeyakinan untuk berjaya.
            Disamping itu, ibu bapa haruslah lebih terbuka dalam membincangkan masalah sebegini. Mereka perlu memberikan maklumat yang betul dan tepat akan sebab-sebab masalah sebegini berlaku keatas anak mereka kepada pihak yang berpengetahuan seperti kaunselor mahupun doktor. Perbincangan juga haruslah berlaku secara berpanjangan dari semasa ke semasa bagi memastikan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan.
            Di sekolah pula, guru haruslah memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah gangguan emosi di kalangan pelajar. Peneguhan positif haruslah diberikan kepada murid yang menunjukkan tingkahlaku yang diingini manakala hukuman juga haruslah berpatutan dan bersesuaian dengan apa yang telah murid lakukan. Ini adalah bagi menggalakkan lagi tingkah laku yang baik dilakukan oleh pelajar dan mengurangkan tingkah laku yang kurang baik. Guru juga perlulah mahir dalam mengendalikan bilik darjah. Peraturan yang ditepkan juga mestilah difahami dan dipersetujui oleh pelajar dan ia juga mestilah bersesuaian dengan peringkat umur dan kumpulan murid itu.
            Akhir sekali, murid haruslah diberikan peluang untuk mengenalpasti sendiri kesalahan atau tingkah laku yang tidak diingini yang telah mereka lakukan. Ini adalah bagi menggalakkan mereka berfikir secara lebih rasional dan secara tidak langsung boleh melatih mereka untuk lebih berdikari. Seterusnya mereka juga diberi peluang untuk memperbaiki tingkah laku mereka itu. Apabila mereka berfikir secara tersendiri secara tidak langsung ia akan lebih memberikan kesan kepada mereka.
            Kesimpulannya, tekanan emosi boleh dialami oleh kanak-kanak. Manifestasi yang ditunjukkan berbeza-beza mengikut tahap perkembangannya. Ibu bapa perlu memahami dan mengenali ciri-ciri tekanan emosi di kalangan anak-anak tersebut. Kadangkala, keluhan dikalangan kanak-kanak itu perlulah diperiksa dengan teliti supaya  segala punca boleh dikenal pasti dan langkah-langkah pencegahan dapat diambil. Ia adalah seperti  kata pepatah iaitu, mencegah lebih baik daripada merawat.    

Definisi Gangguan Emosi





Gangguan emosi boleh ditakrifkan sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih karekteristik oleh murid-murid. Menurut kamus dewan, gangguan emosi bermaksud gangguan akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan, yang dicirikan dengan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu. Gangguan emosi ini juga dapat ditakrifkan sebagai kelakuan menunjukkan ciri suka menyendiri dan mempunyai emosi yang tidak stabil.
Antara gangguan emosi yang berlaku ialah antisosial dimana murid-murid lebih suka menyendiri dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakan yang lain, ketidak mampuan untuk belajar yang tidak dapat dijelaskan oleh faktor-faktor intelektual serta gangguan kesihatan seperti mudah sakit perut, sakit kepala dan sebagainya. Secara ringkasnya gangguan emosi boleh dikatakan sebagai gangguan yang diterima oleh seseorang murid yang menyebabkan emosi murid itu tidak stabil. Gangguan emosi ini akan menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan seseorang murid. Gangguan emosi ini juga boleh menyebabkan pelajaran murid terganggu dan seterusnya mempengaruhi pencapaiannya di sekolah.

Jenis-jenis gangguan emosi
Terdapat tiga jenis gangguan emosi dalam kalangan murid-murid iaitu gangguan emosi ringan, gangguan emosi sederhana dan gangguan emosi berat. Walau apapun tahap gangguan emosi pada murid-murid ini, jika ianya tidak diatasi pasti akan menyebabkan masalah yang lebih teruk lagi yang boleh menganggu pencapaian murid dalam akademik dan juga membawa kepada gejala yang lebih buruk. Sebagai seorang guru, kita hendaklah sentiasa peka dengan emosi pelajar kita. Sebarang perubahan tingkahlaku yang berkait rapat dengan emosi murid perlu diambil kira supaya keadaan tidak menjadi bertambah buruk dan seterusnya proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
Sebagai seorang guru yang telah mempunyai pengalaman mengajar selama dua puluh tahun, berbagai gangguan emosi yang dialami oleh murid yang telah saya hadapi. Antaranya yang telah saya kenal pasti ialah tidak hadir ke sekolah tanpa sebab yang munasabah, tidak boleh duduk diam dan suka menganggu rakan-rakan serta sering mendatangkan masalah dalam bilik darjah, sering berasa cemas dan takut semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan, selalu tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru dan  pencapaian akademik yang semakin merosot.

Punca-punca gangguan emosi.
Mengikut Teori Mauro ( 2004 ), terdapat banyak faktor yang berkait rapat dengan gangguan emosi dalam kalangan kanak-kanak.  Antara punca berlakunya gangguan emosi adalah persekitaran sekolah, peristiwa yang berlaku dalam keluarga, pengaruh keluarga, pengaruh rakan sebaya, tindakan guru dan lain-lain lagi.
Bagi murid-murid saya, gangguan emosi yang berlaku terhadap mereka telah saya kenal pasti punca masalahnya. Dalam kes pertama iaitu seorang murid lelaki tahun tiga yang sering tidak hadir ke sekolah. Murid ini merupakan seorang murid yang manja tetapi pendiam. Setiap minggu pasti ada sekali murid ini tidak hadir ke sekolah dan kemuncaknya apabila murid ini tidak hadir selama empat hari berturut-turut tanpa sebarang makluman dari penjaga. Apabila guru kelas pergi ke rumah murid tersebut untuk mengetahui punca murid itu tidak hadir, didapati murid ini takut untuk ke sekolah kerana telah diugut oleh rakan sekelasnya. Perasaan takut kepada rakan yang mengugutnya itu menyebabkan murid ini tidak berani untuk ke sekolah. Gangguan emosi terhadap murid ini terjadi  berpunca dari rakan sebaya.
Kes kedua, pelajar tahun dua ini merupakan anak seorang guru, dan merupakan pelajar linus.  Di dalam bilik darjah sewaktu mata pelajaran matematik, dia selalu merasa resah, tidak tenteram dan takut. Dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan kadang kala dia mengadu sakit perut kepada ibunya. Apa yang menghairankan ibunya, keadaan anaknya begini hanya apabila tiba mata pelajaran matematik. Apabila diselidiki, murid ini sebenarnya takutkan guru matematiknya ini. Guru matematiknya merupakan seorang guru lelaki yang berperwatakan garang dan guru ini pernah melempang rakan sekelasnya dihadapan murid ini menyebabkan murid ini takut. Emosi takutnya yang berlebihan terhadap guru matematik ini menyebabkan dia berasa tidak tenteram, resah dan takut setiap kali tiba waktu mata pelajaran matematik. Gangguan emosi pelajar ini berpunca dari sikap guru itu sendiri.
Kes ketiga pula seorang pelajar lelaki tahun lima. Beliau sering menganggu rakan dalam kelas, tidak boleh duduk diam dan sering tidak menyiapkan kerja sekolah. Setiap hari ada saja masalah yang timbul darinya. Beliau pernah mencuri duit rakan sekelas, menyorokkan buku tulis rakannya serta makan bekalan yang dibawa oleh rakannya. Pernah beberapa kali beliau dipanggil ke hadapan semasa perhimpunan kerana masalah disiplin yang dilakukannya. Murid ini seperti suka setiap kali namanya dipanggil ke hadapan. Apabila diselidiki, punca murid ini bertindak sedemikian adalah kerana masalah keluarga. Ibu dan bapanya baru sahaja bercerai dan beliau tinggal bersama ibunya. Di rumah beliau selalu ditinggalkan bersendirian kerana ibunya keluar bekerja. Beliau kurang mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah menyebabkan beliau cuba mengambil perhatian guru di sekolah dengan melakukan tingkah laku yang negative.
Kes keempat pula melibatkan pelajar tahun empat yang baru berpindah ke sekolah ini. Murid ini merupakan seorang pelajar yang bijak. Rekod dari sekolah lama menunjukkan pelajar ini selalu mendapat tempat kedua dan ketiga dari murid seramai 16 orang dalam peperiksaannya. Apabila berpindah ke sekolah ini beliau ditempatkan dalam tahun 4 Cerdas yang mempunyai jumlah murid seramai 36 orang. Oleh kerana murid ini seorang yang tinggi dan besar, guru kelas telah menyuruh murid ini duduk di bahagian belakang. Pencapaiannya pada ujian bulanan pertama dan kedua agak memberansangkan namun dalam ujian-ujian seterusnya, pencapaian murid ini semakin merosot. Apabila ditanya, murid ini menyatakan beliau tidak selesa duduk di belakang dan sering diganggu oleh rakan-rakannya yang nakal menyebabkan beliau tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru tambahan lagi dengan jumlah murid yang ramai dalam kelas tersebut. Kesimpulannya, pencapaian murid ini merosot kerana persekitaran belajarnya yang tidak kondusif yang menyebabkan emosinya terganggu.
Kebanyakkan murid mengalami gangguan emosi kerana mereka tidak menguruskan emosinya secara berpatutan dengan kebijaksanaan menggunakan kecerdasan emosinya. Oleh itu langkah-langkah perlu diambil oleh guru, ibubapa, murid dan pihak sekolah untuk mengatasi masalah gangguan emosi ini. Walau bagaimana pun, peranan guru di sekolah adalah amat penting dalam memastikan gangguan emosi ini tidak berlaku dalam kalangan pelajar-pelajarnya. Sebagai seorang guru, kita bertanggungjawab atas segala masalah yang timbul dari murid-murid kita. Seorang guru hendaklah sentiasa peka dengan sikap anak-anak didiknya lebih-lebih lagi yang melibatkan emosi murid. Sebarang gangguan emosi kepada murid-murid, boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan lancar dan seterusnya akan menghalang kejayaan sekolah.
Sebagai seorang guru, kita perlu mengamalkan sikap kepimpinan demokratik. Kepimpinan guru bersifat demokratik boleh mewujudkan interaksi dua hala dan membawa sosio emosi yang sihat, mesra dan harmonis diantara guru dengan murid-muridnya. Dengan sikap kepimpinan demokratik ini juga, guru boleh menyiasat secara adil setiap kesalahan yang dilakukan oleh murid-muridnya dan mengambil tindakan disiplin setelah benar-benar didapati murid itu bersalah. Dengan sikap kepimpinan demokratik guru ini juga,dapat mengurangkan rasa tegang dan menggalakkan murid berganding rapat dengan gurunya. Oleh itu sebarang masalah yang timbul, murid tidak takut untuk mengadu kepada gurunya. Dengan cara ini masalah yang timbul dapat diatasi dengan cepat dan secara tidak lansung tidak berlaku gangguan emosi kepada murid-murid tersebut.
Guru juga haruslah mempunyai perasaan empati. Guru yang menguasai kemahiran empati akan melicinkan segala aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah. Dengan kemahiran yang ada ini, guru boleh mengenalpasti punca murid-muridnya bertindak sedemikian. Contohnya dalam kes murid yang sering membuat salah laku disiplin untuk menarik perhatian guru terhadapnya. Sebagai seorang guru, murid ini wajar didekati, selami perasaannya dan cuba berikan perhatian yang sewajarnya kepada murid ini. Murid ini bertindak begini kerana kurangnya mendapat perhatian dan kasih sayang di rumah, jadi peranan guru di sekolah ialah cuba berikan perhatian dan kasih sayang kepada murid ini. Dengan cara ini, murid ini akan dapat menguruskan emosinya dengan baik dan seterusnya dapat mengawal tingkah lakunya.
Selain daripada itu, sebagai seorang guru kita hendaklah bijak dalam menyediakan kelas yang kondusif kepada pelajar-pelajar kita. Walaupun mempunyai bilangan murid yang ramai, jika keadaan fizikal bilik darjah tersusun dengan rapi dan kondusif, murid-murid pasti akan dapat belajar dengan senang. Guru hendaklah bijak dalam menyusun tempat duduk murid mengikut kumpulan. Ini supaya murid-murid yang lemah dapat diberi pemulihan dan tidak menganggu ahli kumpulan yang lain. Selain dari itu guru juga hendaklah banyak memberikan aktiviti kumpulan kepada murid-muridnya supaya setiap murid dapat mengambil bahagian dalam kumpulan. Dengan ini murid yang lemah tidak merasa diri mereka terasing.Aktiviti kumpulan ini juga dapat memberi peluang kepada murid untuk menunjukkan bakat terpendam mereka.
Selain daripada itu guru juga haruslah bersifat penyayang. Tujuannya ialah untuk merapatkan hubungan guru dengan murid-muridnya. Didalam hubungan yang mesra ini, murid-murid akan digalakkan mengemukakan soalan-soalan, termasuk soalan masalah peribadi dengan harapan dapat diselesaikan oleh guru yang disayangi oleh mereka.
Sebagai seorang guru, kita juga hendaklah sedia membantu murid-murid yang bermasalah. Sekiranya terdapat murid-murid yang mempunyai masalah peribadi seperti bersifat pendiam, penakut, pemalu dan sebagainya guru seharusnya mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya. Selepas itu guru menggalakkan mereka menyertai aktiviti pembelajaran  bersama murid-murid yang lain. Guru juga harus mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat menerima murid-murid bermasalah dalam kumpulan mereka dan tidak menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat menggalakkan murid yang bermasalah mengalami gangguan emosi.
Guru-guru bimbingan dan kaunseling juga hendaklah bijak merangka program-program yang berbentuk pendidikan sebagai tindakan sokongan dalam pembentukan tingkahlaku. Program-program ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkahlaku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid.
Kesimpulannya, sebagai seorang guru, kita tidak dapat lari dari tanggungjawab kita mendidik murid-murid dan memastikan setiap murid kita dapat menjadi seorang insan yang berguna. Oleh itu apa saja halangan yang boleh menganggu proses pembinaan modal insan ini, hendaklah diselesaikan ini termasuklah segala gangguan emosi murid-murid. Ini penting demi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran kita berjalan dengan lancar dan seterusnya menjamin kejayaan sekolah.
Oleh Hariyati Ariffin
Kerjaya sebagai pendidik sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Tidak hairanlah, selain ibu bapa, guru dan pendidik adalah orang yang amat dipercayai dan dihormati pelajar dan masyarakat. Mereka menjadi contoh terbaik kepada pelajar dan sentiasa dipandang tinggi. Pepatah ada mengatakan guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.
Mungkin bukan suatu yang memeranjatkan jika ada yang masih mengingati guru mahupun pensyarah mereka walau sudah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan universiti. Di sekolah rendah guru adalah ejen yang membentuk peribadi kanak-kanak sejak kecil. Mereka diajar dengan pelbagai asas ilmu dan nilai murni. Guru mengajar membaca, menulis, mengira dan berbudi bahasa seperti mengucapkan terima kasih, saling bekerjasama dan berakhlak mulia. Sering kali kita dapati guru di sekolah rendah terdiri daripada mereka yang sangat penyayang dan prihatin terhadap murid mereka.

Di peringkat sekolah menengah guru memberi ilmu dan memupuk sikap bertoleransi serta menjadi pendengar yang baik kepada murid yang mengalami transisi daripada kanak-kanak menjadi remaja. Di universiti misalnya, pendidik yang baik disenangi pelajar, malah mudah untuk pelajar berinteraksi dan berbincang.

Evolusi kerjaya guru Namun apabila zaman berubah, kerjaya guru mengalami evolusinya tersendiri. Jika zaman dulu guru terdiri daripada mereka yang benar-benar minat menjadi pendidik dan sanggup berkorban untuk kerjaya berkenaan, zaman siber memperlihatkan pola perubahan kepada profesion itu.

Walaupun ramai antara mereka yang memohon menjadi guru kerana minat mendalam dalam kerjaya itu, namun ada sesetengahnya memilih kerjaya mendidik kerana terpaksa. Profesion itu adalah pilihan kedua mereka yang tidak berjaya mendapat pekerjaan mengikut jurusan dipelajari.


Kerjaya ini dianggap sebagai suatu ‘survival’ untuk hidup kerana kesukaran mendapat pekerjaan lain. Mungkin ada antara mereka pada mulanya hanya suka-suka memilih kerjaya ini, namun akhirnya mula mencintai profesion ini apabila sudah bergelar pendidik.

Bagaimanapun, ada juga antara mereka yang menjadikan profesion ini sekadar tempat persinggahan dengan sekadar mendapat gaji dan tidak dapat menjiwai profesion ini secara menyeluruh.

Selain tidak dapat menjiwai profesion yang mulia ini dengan baik, mereka juga gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar serta tidak ikhlas menjalankan amanah yang diberi.

Transformasi pengajaran Sememangnya tidak dinafikan cabaran menjadi seorang guru di zaman siber ini amat besar dan memerlukan satu transformasi cara pengajaran yang berkesan. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan kreativiti guru dalam menyampaikan ilmu kepada generasi tanpa wayar sekarang ini.

Seorang pendidik perlu memiliki peribadi yang baik seperti sabar, belas kasihan, kreatif, berilmu, bijaksana dan berpengalaman.


Memetik kata-kata Prof Dr Sidek Baba dalam buku Pendidikan Rabbani, beliau menjelaskan bahawa pendidik bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, maklumat atau pengalaman, malah kepakaran mengenai sesuatu.


Selain itu, pendidik juga mesti memberi contoh dan pekerti yang baik ketika mendidik. Mereka juga mesti mempunyai sifat kesabaran, ikhlas, amanah, adil serta bertimbang rasa dan lain-lain kualiti yang penting dalam proses pendidikan.


Berdasarkan ciri-ciri di atas, jelaslah bukan mudah menjadi guru yang mempunyai peribadi agung dan dihormati pelajar. Mereka menjadi pendidik terbilang apabila dapat melahirkan generasi berkualiti dan berakhlak mulia yang diperlukan negara dan masyarakat.


Kisah pengorbanan guru di luar bandar patut dijadikan contoh kepada guru yang mengajar di bandar besar dengan segala kemudahan berada di hujung jari.


Bayangkan guru di kawasan pedalaman terpaksa menaiki bot, meredah hutan dan berkorban banyak perkara untuk menyampaikan ilmu kepada murid mereka. Namun mereka masih bertahan dengan kerjaya berkenaan.


Walaupun negara sudah semakin maju, kita jangan pula lupa bahawa masih ada beberapa kawasan pedalaman yang tidak mendapat kemudahan dalam pembelajaran. Sesetengah sekolah di kawasan mundur masih amat jauh ketinggalan.


Mereka tidak mempunyai kemudahan moden, umpamanya komputer, ada kalanya kerusi dan meja juga amat daif selain kekurangan kelengkapan, infrastruktur dan prasarananya.


Namun semangat guru yang mengajar di kawasan seumpama ini amat dipuji. Penulis pernah membuat tinjauan di sebuah kawasan pedalaman di hulu Perak dan mendapati kegigihan guru serta murid dalam proses pembelajaran amat jauh berbeza dengan sekolah di bandar yang bukan saja lengkap dengan alat pembelajaran canggih dan moden, malah ada antaranya memiliki kelas berhawa dingin. Justeru, dalam dunia pendidikan masa kini, melahirkan guru yang benar-benar menjiwai kerjaya mendidik bukanlah mudah. Landskap pendidikan juga sudah banyak berubah. Guru bukan saja diamanahkan dengan tugas hakiki, tetapi juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran, kokurikulum selain memegang jawatan tertentu dalam persatuan dalaman dan luar sekolah.


Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, guru diharap akan gigih mencurahkan bakti mereka dengan ikhlas bagi melahirkan lebih ramai lagi modal insan berkualiti dari sudut ilmu, akhlak dan membentuk satu sistem nilai yang baik. Ingatlah bahawa pendidik terbilang melahirkan pelajar cemerlang.


Penulis Pensyarah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/31
- See more at: http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cabaranguruzamansiber/Article/index_html#sthash.nlTfV7uU.dpuf

Nota Guru Dan Cabaran Semasa

http://image.slidesharecdn.com/notagurudancabaransemasa-130702190738-phpapp02/95/nota-guru-dan-cabaran-semasa-1-638.jpg?cb=1372810097

KERATAN AKHBAR





Guru dan cabaran semasa

ARKIB : 14/05/2014 Guru dan cabaran semasa

DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan berkualiti. Itu­lah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini...
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan guru adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu meng­hadapi cabaran semasa dalam proses pen­di­dikan antaranya berkaitan integrasi nasio­nal, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, penga­ruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru mulai 2013 supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia disenaraikan di tempat ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling menarik dari segi perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira 90,000 pelajar daripada 130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara ini. Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran dan Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan diluluskan meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan Education Delivery Unit (EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan PPPM sangat penting bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam sistem pendidikan negara.
Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkap­kan generasi muda dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam, tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang dilaksana­kan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan untuk transformasi sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah memahaminya serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan mestilah difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ia berkualiti dan re­levan dengan keperluan semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi mening­katkan perpaduan negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan penge­tahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala para guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal insan yang berkua­liti untuk pemimpin negara pada masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang paling banyak belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah semata-mata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya de­­­ngan perbuatan yang baik dalam kehidupan.
PENULIS ialah Pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140514/re_07/Guru-dan-cabaran-semasa#ixzz3lD0p4IyP 
© Utusan Melayu (M) Bhd